Majlis menjadi lebih meriah dengan kehadhiran Cikgu Rashid Ab Rahman iaitu guru yang mengajar kami masa kami darjah 1 di SRJK Kota pada tahun 1968.
Cikgu rashid memulakan kerjayanya
sebagai guru di sekolah ini pada usia 23 tahun,
pada masa itu umur kami baru 7 tahun. Setelah lebih 40 tahun
kami ditemukan kembali dalam suasana
yang agak berbeza. Cikgu rashid ternyata awet muda, masih segak dan bergaya seperti masa mula-mula kami mengenalinya dulu
berbanding dengan sebahagian dari kami termasuk ambo sendiri yang kelihatan lebih berumur sedangkan beza
usia kami dalam 16 tahun.
Walaupun sudah lebih 40 tahun, bangunan lama SRJK Kota tetap utuh dan masih boleh digunakan sampai hari ini |
Kami disajikan nasi Komok atau Khao Mok Gai dalam bahasa thai iaitu menu yang begitu popular di selatan Thai. Saya juga turut sama menikmati menu istimewa ini yang masak sendiri oleh Chef Ainun yang juga seorang guru dan dibantu oleh anak-anak beliau.
Chef Ainun mahir dalam masakan thai dan kediamannya pula di Rantau Panjang (sempadan Thai) memudahkan beliau mendapatkan bahan-bahan untuk pelbagai jenis masakan. Keenakan dan keunikan Nasi Komok begitu menyelerakan tekak saya dan ramai yang menyukainya. Selain itu, kami turut dihidangkan dengan nasi dagang, kek dan banyak lagi juadah yang begitu menyelerakan.
Saya juga sempat menyalin resepi Nasi komok dari Chef Ainun untuk
dikongsikan oleh rakan-rakan Grup SMK Kota 1974-78:
NASI KOMOK - Chef Ainun Rosnani
BAHAN-BAHAN:
- 5 cawan beras basmathi
- 4 sudu minyak sapi
- 4-5 ulas bawang merah*
- 1 Inci halia*
- 4 Ulas bawang putih*
- 3 batang akar ketumbar
- 2-3 Sudu rempah komok
- 200 ml susu cair
- 1 ekor ayam
- 8 cawan air
- garam secukup rasa
- Rempah penumis.
CARA MEMASAK:
- Cuci ayam ( seeloknya di potong 4 saja)
- Cuci beras basmathi dan rendam sebentar.
- Hiris nipis bahan bertanda *
- Tumis rempah penumis dan bahan yang dihiris dengan minyak sapi hingga naik bau.
- Masukkan rempah komok dan kacau selalu supaya tidak hangus. Setelah nampak garing masukkan air dan akar ketumbar.
- Masukkan ayam dan rebus ayam hingga hampir masak.
- Angkat ayam dan toskan. Lumurkan ayam dengan garam dan kunyit. Perap sebentar biar ia mesra. Goreng ayam yang di perap samada garing atau tidak ikut citarasa sendiri.
- Keluarkan 1 cawan kuah tadi untuk sos cili.
- Masukkan kuah kedalam periuk nasi dan masukkan susu. biar ia menggelegak sambil di kacau. Masukkan garam secukup rasa.
- Masukkan pula beras yg telah di toskan.Tutup dan biarkan ia masak.
BAHAN SOS CILI:
- 1 Cawan air kuah nasi komok*
- 6 biji cili merah*
- 2 Ulas bawang putih*
- 4 tangkai daun ketumbar*
- gula, garam ,cuka (secukup rasa)
CARA MENYEDIAKAN:
- Kisar semua bahan bertanda *.
- Masak hingga agak pekat.
- Perasakan ia dengan garam, gula jika ada guna nisan kerek dan cuka atau limau nipis secukup rasa.
- siap untuk dihidang.