Saturday, February 9, 2013

Sejarah Penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota (SMK Kota)


Kampung Kota yang jaraknya 6 km dari pusat Bandar Kota Bharu telah menempa sejarah dengan tertubuhnya sebuah Sekolah Menengah di kampung tersebut pada tahun 1965. Sekolah tersebut dinamakan Sekolah Menengah Kebangsaan Kota. Sekolah ini bersebelahan dengan Stesen Radio Kota Bharu (RTM).

Pada mulanya Sekolah Menengah Kebangsaan Kota menumpang di bangunan Sekolah Kebangsaan Kota, tetapi tiga tahun kemudian iaitu pada tahun 1968, dua buah bangunannya sendiri siap dibina. Bangunan tersebut ialah Blok A dan bangunan Blok B. Tahun 1980, dua buah bangunan lagi dibina iaitu Blok C dan Blok D. Pertambahan bilangan murid menjadikan kerja pembinaan bangunan sekolah semakin rancak. Pada tahun 1991 beberapa bangunan baru 3 tingkat pula sempurna disiapkan. Sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Kota mempunyai 11 buah blok termasuk blok kemahiran hidup.


Peringkat awal penubuhannya Sekolah Menengah Kebangsaan Kota melaksanakan sistem pembelajaran 2 aliran iaitu aliran melayu dan aliran inggeris. Kumpulan pertama pelajar-pelajarnya adalah seramai 230 orang yang datang dari sekolah rendah disekitarnya seperti:
  1. Sekolah Kebangsaan Kota 
  2. Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Inggeris) Kota 
  3. Sekolah Kebangsaan Bunut Payong 
  4. Sekolah Kebangsaan Pendek 
  5. Sekolah Kebangsaan Pintu Geng. 
Daripada jumlah tersebut, 3 buah kelas telah diperuntukkan kepada pelajar-pelajar aliran inggeris. Bagi menampung jumlah pelajar yang ramai, 5 orang guru terlatih telah ditempatkan di sekolah tersebut manakala 2 orang guru yang berpengalaman telah dipinjamkan dari Sekolah Kebangsaan Mulong dan Sekolah Menengah Ismail Petra.


Std 1 Yellow, SRJK (Ing) Kota in 1968


Pada tahun 1998 Sekolah Menengah Kebangsaan Kota mempunyai 1854 orang pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6. Jumlah kelas ialah sebanyak 50 kelas termasuk 4 kelas aliran sains dan 3 kelas aliran agama atau arab. Tenaga pengajarnya seramai 90 orang iaitu 60 orang guru siswazah dan 30 orang guru bukan siswazah.

Guru-guru SMK Kota tahun 1976
Jamuan akhir tahun di Sabrina Court Kota Bharu
Ihsan dari: Cg Zainab Ali



Berdiri dari kiri: cg Nik Rosnah,
cg Hasnah, cg Fatimah Shaerah

dan yang duduk tu cg Zainab 





Bilangan guru pada masa ini seramai 160 orang. Jumlah pelajarnya pula melebihi 1900 orang murid dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6 atas dengan 60 kelas termasuk kelas pendidikan khas. Jumlah kakitangan bukan guru yang sedang berkhidmat sekarang adalah seramai 16 orang termasuk kakitangan pejabat dan kakitangan makmal.

Kini warga Kota boleh berbangga setelah hampir 50 tahun penubuhannya, sekolah ini telah berjaya melahirkan ramai tokoh akademik dan profesional, usahawan, ahli politik serta aktivis masyarakat yang telah banyak menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang kearah pembangunan dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

 

Info sekolah:
Muhamad Azeem
Sidang Redaksi
SMK Kota.

No comments: