Ibu bapa merupakan orang yang wajib kita hormati dan
taati.Perintah mentaati keduanya jelas termaktub di dalam Quran dan Hadith.
Mengecilkan hati, melawan atau mengherdik keduanya dianggap sebagai derhaka.
Menderhaka kepada ibubapa adalah satu dosa besar dan tidak
akan mencium bau syurga; meskipun banyak beribadat kepada Allah. Allah tidak
menerima ibadat orang yang derhaka kepada ibubapa.
Dalam satu hadith, Nabi Muhammad saw bersabda bahawa
keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan kedua ibubapa. Ini bermakna jika
ibubapa suka kepada kita, Allah turut meredhai kita. Sebaliknya jika mereka
marah dan berkecil hati kepada kita, Allah turut murka kepada kita.
Pernah seorang sahabat mengadu kepada Rasulullah tentang
perangai ibunya yang suka meminta-minta kepadanya. Baginda marah dan menempelak
sahabat itu dengan mengatakan bahawa bukan saja dalam harta malahan dalam
dirinya sendiri ada hak kedua ibubapanya. Jelas ibubapa mempunyai hak terhadap
apa saja yang ada pada kita.
Sejak kita di dalam kandungan, ibu menanggung segala
kesakitan dengan penuh sabar. Begitu juga setelah dilahirkan, ibu mengasuh dan
menjaga kita dengan penuh kasih sayang. Jika kita sakit, ibu tidak lelap tidur.
Mereka berkorban apa saja untuk kita. Tetapi setelah kita besar dan boleh berdikari,
sanggupkah kita mengecewakan hatinya.
Oleh kerana besarnya pengorbanan ibubapa terhadap kita, maka
sewajarnyalah Allah mewajibkan kita mematuhi mereka. Ganjaran di atas layanan
kita terhadap ibu bapa dibalas oleh Allah tunai semasa di dunia lagi. Contohnya,
jika kita mentaati mereka, anak-anak kita akan taat kepada kita. Sebaliknya
jika kita menderhaka kepada mereka, anak-anak kita akan derhaka kepada kita
pula.
Nabi Muhammad saw pernah bersabda:
"Barangsiapa semasa paginya mendapat keredhaan ibu
bapa, nescaya dibukakan baginya semua pintu syurga. Sebaliknya jika semasa pagi
lagi telah menyakiti hati ibubapa, nescaya akan dimasukkan ke dalam
neraka."
Kita sebenarnya tidak berdaya membalas jasa ibu dan bapa.
Hakikat ini perlulah kita insafi. Jika mereka tidak wujud di dunia, kita juga
tidak akan lahir di dunia ini. Oleh sebab itu, kita digalakkan mendoakan mereka
setiap kali selepas solat. Jika mereka masih hidup, layanilah mereka dengan
sebaik-baik mungkin. Tetapi jika sudah meninggal dunia, selalulah menziarahi
tanah perkuburan di samping mendoakan kesejahteraannya. Buatlah sebarang
kebajikan seperti sedekah dan niatkan pahala untuk arwah ibu dan bapa. Mereka
akan menerima pahala tersebut. Inilah sahaja bukti ketaatan yang dapat kita
tunjukkan terhadapnya.
Akhirnya, ingatlah pesanan Nabi saw:
"Khabarkanlah berita gembira ini kepada mereka yang
berbuat baik kepada ibubapa: Buatlah apa saja bahawasanya Allah Taala telah
mengampuni mereka. Dan khabarkan berita buruk kepada mereka yang menderhakai ibubapa,
buatlah seberapa banyak ibadat yang disukai, bahawasanya Allah Taala tidak akan
memberikan keampunan sedikitpun kepadanya."
No comments:
Post a Comment